IMPAK PERANAN GURU KE ARAH MENCAPAI MATLAMAT PENDIDIKAN MALAYSIA

IMPAK PERANAN GURU KE ARAH MENCAPAI 

MATLAMAT PENDIDIKAN MALAYSIA

Mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan, jelas dilihat bahawa FPK ini bermatlamat utama untuk melahirkan warganegara Malaysia yang holistik, bersepadu, seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Menurut FPK, pendidikan adalah satu alat untuk mencapai kesejahteraan diri dan negara. Persoalannya siapakah yang bertanggungjawab untuk mewujudkan komuniti yang seimbang dari segi semua aspek ini? Sebenarnya kita tidak perlu bertanya-tanya lagi, kerana sudah pasti jawapannya ialah guru. Guru ialah pihak yang memainkan peranan yang paling penting untuk merealisasikan FPK. Sebab itulah, Falsafah Pendidikan Guru (FPG) digubal dengan tujuan menjadi panduan kepada guru untuk merealisasikan FPK.


PERANAN GURU MEREALISASIKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

  •        i.          Komponen Ketuhanan: Guru perlu memikul amanah bahawa kerjaya sebagai pendidik itu adalah satu amanah yang dipertanggungjawabkan untuk dilaksanakan.  Amanah kepada guru itu datangnya dari sesama manusia (ibu bapa, masyarakat dan kerajaan) dan amanah kepada Tuhan.  Guru perlu menjadikan kerjaya keguruan itu sebagai satu ibadah yang memberikan sumber rezeki dalam kehidupan.  Guru perlu sentiasa bersyukur dan melipatgandakan usaha untuk memberikan didikan yang terbaik dan sempurna sebagaimana yang diamanahkan.  Dalam mendidik, bentuklah akhlak murid-murid untuk menjadi insan yang cemerlang di dunia dan akhirat.
  •      ii.           Komponen Profesional: Guru yang profesional adalah guru yang tahu apa yang mesti dilakukan di dalam menjalankan tugas-tugasnya, dapat menjadikan murid-muridnya beroleh kejayaan dalam hidup dan dapat memberikan ilmu yang terbaik.  Dengan itu guru perlu menjadi orang yang sentiasa lapar kepada ilmu dan sentiasa berasa bodoh dengan perubahan dan sentiasa tahu mencari penyelesaian.
  •    iii.          Komponen Pengajaran: Pengajaran melibatkan pelbagai kemahiran, pengetahuan, bahasa dan nilai yang saling begabung untuk melahirkan murid yang cemerlang.  Guru perlu menguasai perkara-perkara tersebut dan berkebolehan untuk menterjemahkan ke dalam amalan yang berkesan.  Kemahiran mengajar, komunikasi dan pengendalian teknologi adalah perkara yang diutamakan.  Manakala pengetahuan secara mendalam, meluas dan terkini mengenai kandungan, pedagogi khusus dan am, kurikulum, murid, konteks dan matlamat pendidikan adalah penting.
  •    iv.          Komponen Perundingan: Guru adalah pemimpin, pembimbing dan pendorong untuk mempastikan tiada murid yang tertinggal di belakang.  Guru perlu bertindak sebagai perunding yang cekap terhadap murid, ibu bapa, rakan sejawat dan pihak atasan yang lain.  Sebagai perunding, peranan guru ialah mempastikan tiada masalah atau halangan dalam mempastikan murid berjaya.
  •      v.          Komponen Penyelidikan: Guru mesti sentiasa mendahului era dengan sentiasa memperbaiki diri bagi meningkatkan tahap profesionalisme.  Penyelidikan adalah perkara yang perlu dilakukan oleh guru dalam konteks amalannya dalam bilik darjah.  Kajian tindakan merupakan salah satu penyelidikan yang boleh guru-guru laksanakan untuk mengenalpasti dan menyelesaikan masalah dalam pembelajaran dan pengajaran.


    IMPAK PERANAN GURU MENCAPAI MATLAMAT PENDIDIKAN MALAYSIA.

Kurikulum sekolah dilihat telah mengalami perubahan dari segi bahan-bahan pengajaran yang lebih menitikberatkan nilai-nilai murni yang diserapkan kedalam semua subjek bagi mencapai matlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis. Perubahan kurikulum sekolah juga dapat dilihat dalam sistem pendidikan negara kita yang mula berorientasikan ke arah pendidikan umum dan perubahan sukatan pelajaran yang sesuai bagi mengasah kemahiran pelajar dalam bidang teknologi, teknik dan vokasional.

Implikasi yang seterusnya ialah terhadap pendidik iaitu perubahan peribadi pendidik selari pandangan dan visi positif dalam menjalankan tugas atau profession bagi mencapai tujuan dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Selain itu, perubahan positif ini telah mengubah pembelajaran & pengajaran pendidik seterusnya melahirkan pendidik yang inovatif, berpengetahuan luas, berakhlak mulia, dan berketrampilan.

Seterusnya ialah implikasi institusi pendidikan di negara kita. Dalam institusi pendidikan sekarang, dapat kita lihat perubahan seperti perubahan kemudahan-kemudahan supaya para pelajar mendapat peluang bagi mengembangkan lagi potensi yang ada dalam diri mereka dari segi intelek, rohani, emosi, sosial dan jasmani secara seimbang.

Selain itu, akitiviti budaya sekolah juga mengalami perubahan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa para pelajar. Perubahan iklim sekolah yang kondusif juga telah melahirkan para pelajar yang menghargai ilmu dan melahirkan budaya-budaya positif seperti budaya membaca di kalangan mereka.

Sebagai rumusannya, semua pihak memainkan peranan yang penting dalam menyusun atur strategi bagi mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya memberi impak positif dalam perkembangan sistem pendidikan di negara kita ini.



Comments